SAHABAT YANG TAKWA MENUNJUKKAN JALAN KE SYURGA

0
"Biasanya kawan yang baik akan membawa kita ke jalan yang lurus, sementara kawan yang tidak baik, jikapun tidak menjerumuskan kepada kebinasaan, akan menjejaskan nama baik kita juga sekalipun kita tidak terlibat dengan kejahatannya. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda bermaksud : ' Engkau tidak akan hampa dari Penjaja Kesturi kerana walaupun engkau tidak membeli kesturi, engkau pasti akan dapat baunya, manakala si Tukang Besi, ia boleh membakar rumahmu, atau pakaianmu atau setidak-tidaknya kau mendapat bau yang busuk' ."

Dalam satu pertemuan terbuka dengan Syeikh Sa'ied bin Musfir-Hafazhahulla h salah seorang yang hadir dalam pertemuan itu memintanya supaya sudi menceritakan tentang permulaan beliau mendapat hidayah. Dengan senang hati beliau bercerita:

Sebenarnya, bagi setiap hidayah itu ada permulaan dan sebab yang sesuai dengan fitrah. Saya mempercayai Allah dan semasa masih kecil lagi saya senantiasa melakukan ibadah, tetapi apabila sudah mula meningkat dewasa, saya mula ditimpa kelemahan dan kelalaian. Dalam waktu-waktu tertentu terkadang saya meringan-ringankan sembahyang. Dalam waktu yang lain apabila saya menziarahi jenazah perkuburan atau mendengar nasihat melalui khutbah di masjid, rasanya iman saya akan bertambah. Saya akan menjaga sembahyang dan sunnah-sunnah lain dalam jangka masa tertentu. Tetapi selepas seminggu dua saya sudah mula meninggalkan sunnah dan dua minggu selepas itu saya akan meninggalkan yang fardhu-fardhu pula, sehinggalah tiba suatu masa dan sempena lain yang mendorong saya untuk sembahyang lagi.

Bila dewasa dan baligh, saya tidak lagi mengambil apa-apa pengajaran dari sempena atau nasihat itu. Saya terus dalam keadaan liar dan tanpa menjaga sembahyang dengan teliti. "Alah bisa kerana biasa"

Tiba masanya, saya berkahwin. Terkadang saya sembahyang, terkadang tidak mengikut iman semulajadi saya kepada Allah sehingga Allah menghendaki dalam satu ketika semasa bersama saudara seagama saya Syeikh Sulaiman bin Muhammad bin Fayi'.

Peristiwa ini terjadi pada tahun 1387H ketika saya bertugas sebagai Nazir Pendidikan Olahraga. Sewaktu saya turun dari pejabat dengan pakaian olahraga, saya bertembung dengannya di pintu pejabat pendidikan. Dia ketika itu sedang turun dari Bahagian Kewangan. Saya mengucapkan salam kerana dia adalah bekas teman sekolah saya. Selepas mengucapkan salam saya terus beredar hendak meninggalkannya, tetapi dia berkata: "Ke mana nampaknya tergesa-gesa?" Masa itu ialah bulan Ramadhan. Saya memberi jawapan: "Balik ke rumah mahu tidur sekejap". Sudah menjadi kebiasaan saya akan tidur selepas balik dari kerja sehinggalah waktu Maghrib tanpa sembahyang Asar, kecuali saya terbangun sebelum waktu Maghrib dan saya dalam keadaan berpuasa.

Syeikh Sulaiman berkata: "Waktu Asar akan tiba sebentar lagi, apa kata kita pergi berjalan-jalan sebentar ?"

Saya bersetuju dan kami pun berjalan bersama menuju empangan lembah Abha yang pada masa itu dipenuhi oleh rumput dan tumbuh-tumbuhan dan hembusan angin segar.

Sampai di sana kami duduk. Selepas masuk waktu 'Asar kami berwudhu' dan sembahyang Asar, kemudian balik.

Di tengah jalan ketika balik dia memegang tangan saya lalu membacakan sebuah hadis yang seakan-akan itulah kali pertama saya mendengarnya pada hal hadis itu sering saya dengar kerana ianya hadis masyhur. Tetapi ketika dibacakannya, hati saya semacam terbuka luas menerima hadis itu, seolah-olah inilah kali pertama saya mendengarnya.

Hadis yang dimaksudkan ialah hadis al-Barra' bin 'Azib Radiallahu 'anh yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya dan Abu Daud dalam sunannya.

Al-Barra' Radiallahu 'anh berkata: "Kami pemah keluar bersama Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam mengiringi jenazah seorang Ansar sehinggalah sampai ke kuburnya. Apabila jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, maka Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam duduk dan kami juga duduk di sekelilingnya dalam keadaan bagaikan burung sedang bertenggek di atas kepala kami (sunyi senyap). Di tangan Baginda ada sepotong kayu yang di tekan-tekankannya ke tanah, kemudian Baginda mengangkat kepala lalu bersabda:



"Minta perlindunganlah kamu dengan Allah daripada seksa kubur".

Kata-kata ini disabdakan Baginda dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda bersabda :

"Sesungguhnya hamba yang beriman apabila dia sudah dalam keadaan terputus dari dunia menghala ke akhirat, malaikat dari langit pun turun kepadanya dengan wajah berseri-seri" (sehingga akhir hadis).

Syeikh Sulaiman menyebutkan hadis yang panjang itu mulai dari awal sehingga akhirnya. Apabila tiba di Abha, tempat kami akan berpisah, untuk balik ke rumah masing-masing, saya berkata kepadanya: "Dari mana saudara perolehi hadis ini?" Beliau menjawab: "Hadis ini terdapat dalam Riyadhus Shalihin". Saya bertanya: "Apa pula buku yang saudara baca?" Beliau menjawab: "Saya membaca Kitabul Kabair karangan az-Zahabi. Kami berpisah dan saya terus ke kedai buku at-Taufiq satu-satunya kedai buku yang ada di Abha, kemudian membeli Kitabul Kabair dan kitab Riyadhus Shalihin. Kedua buah kitab inilah yang mula sekali saya miliki.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya berkata kepada diri sendiri: "Saya sekarang sedang berada di persimpangan jalan. Di hadapan saya ada dua jalan, jalan pertama ialah jalan keimanan yang menuju syurga, dan jalan kedua ialah jalan kekufuran, kemunafikan dan maksiat yang menuju neraka. Saya sekarang sedang berdiri diantara keduanya. Jalan yang mana yang saya pilih?".

Akal menyuruh saya memilih jalan pertama, manakala nafsu ammarah menyuruh saya mengikuti jalan kedua dan dia membisikkan kepada saya: "Engkau masih muda lagi, pintu taubat masih terbuka sehingga hari kiamat, jadi masih ada kesempatan untuk bertaubat".

Pemikiran dan waswas ini terus berpusing di hati saya selama dalam perjalanan ke rumah.

Sampai di rumah, saya berbuka puasa, sembahyang Maghrib, Isya' dan Tarawih. Seingat saya baru malam itulah saya melakukan Sembahyang Tarawih dengan lengkap. Sebelumnya saya hanya sembahyang dua rakaat, lepas itu saya pergi, terkadang hanya empat rakaat, itupun jika saya melihat bapa saya. Pada malam tersebut, saya telah melakukan Tarawih dengan lengkap. Setelah selesai sembahyang saya pergi ke rumah Syeikh Sulaiman, bagaimanapun dalam perjalanan saya menemuinya sedang keluar dari masjid, lalu kami bersama-sama berjalan menuju rumahnya.

Pada malam itu kami membaca dari awal kitab al-Kabair iaitu 4 jenis dosa besar. Pertama ialah: menyekutukan Allah, kedua: sihir, ketiga: membunuh, keempat meninggalkan sembahyang. Kami selesai membaca kitab ini sebelum tiba waktu Sahur.

Saya berkata kepada Syeikh Sulaiman: "Dimana kedudukan kita dari keterangan buku ini?" Syeikh Sulaiman berkata: "Keterangan ini sebenarnya terdapat dalam buku-buku para ulama, tetapi kita lalai daripadanya". Kemudian saya berkata kepadanya: "Orang ramai juga dalam kelalaian daripada mengetahui perkara ini, oleh itu kita hendaklah membacakannya kepada mereka".

Syeikh Sulaiman bertanya, "Siapa yang akan membacakannya ?" Saya menjawab : "Engkaulah". Syeikh Sulaiman menjawab: "Tidak, mesti engkau!" Kami berselisih pendapat siapa yang akan membacakannya, tetapi akhirnya kami bersetuju supaya saya sendirilah yang akan membacakannya.

Kami mengambil kertas dan menuliskan dosa besar yang keempat iaitu meninggalkan sembahyang. Minggu itu juga pada hari Jumaat, saya pun berdiri di masjid berhampiran Pusat Dakwah Abha. Inilah satu-satunya masjid di Abha selain dari masjid agungnya. Selepas sembahyang Jumaat saya berdiri lalu membacakan kepada orang ramai tentang nasihat berkesan yang menyebabkan saya insaf dan mendapat hidayah serta yang menjadikan saya berpendirian teguh.

Saya memohon kepada Allah, semoga Dia menetapkan kita semua dalam agamanya. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar Lagi Maha Memperkenankan.

0 comments: