Aplikasi Al-Quran PSP

0
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Nasional/20070510082230/Article/

Pelajar tahun akhir Fakulti Multimedia Kreatif, Ikhwan Nazri Mohd Asran (gambar) , 21, mengambil masa empat bulan mencipta perisian al-Quran PSP yang dikatakan pertama seumpamanya pernah dihasilkan.

Beliau berkata, idea menghasilkan perisian al-Quran itu bermula Januari lalu selepas melayari internet dan mendapati ada versi kitab Injil digital bagi kegunaan penggemar PSP.

“Terdetik dalam hati jika penganut Kristian boleh membaca Injil dalam permainan konsol mengapa kita tidak boleh berbuat sedemikian untuk kitab suci umat Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memulakan ideanya itu dengan mempelajari struktur program PSP serta membuat percubaan pertama dengan memasukkan juzuk ke-30 al-Quran dalam perisiannya.

“Saya mengambil masa empat hari menyiapkan program termasuk menyalin dan memuat turun keseluruhan juzuk itu berserta terjemahannya,” katanya ketika ditemui di universiti itu semalam.

Ikhwan terpaksa meminta bantuan 10 rakannya daripada Institusi Usrah universiti itu untuk menyalin dan memuat turun 29 juzuk lain serta terjemahannya yang diambil daripada laman web www.quran.al-Islam.com.

Beliau yang membeli PSP pada Julai tahun lalu menggunakan wang sendiri turut mendapat galakan pensyarah untuk meneruskan dan menambah nilai ciptaannya itu.

Namun, katanya, pengguna PSP dalam dan luar negara hanya boleh memuat turun perisiannya itu secara percuma selepas 20 Mei ini kerana beliau sedang memperkemas, memperbaiki kelemahan dan memperhalusi program itu.

Ketika ini program al-Quran digital ciptaannya khusus untuk pengguna PSP dan mereka boleh melihatnya dengan melayari laman webnya iaitu www.raise.flavert.com.

“Sekarang saya masih menguji program ini walaupun sudah boleh digunakan. Saya juga mendapatkan bantuan 18 pengguna PSP yang mempunyai pelbagai latar belakang bagi memberi maklum balas,” katanya.

0 comments: