IMAM Al-Syafie banyak memberi pedoman dalam
memilih kawan. Beliau juga mengakui sukar
mencari sahabat sejati yang mahu berkongsi suka
duka bersama.
Ketika menilai sahabat sejati pada waktu susah,
katanya: "Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan
ketika susah lebih mendekati musuh daripada
sebagai kawan.
"Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang
sejati kecuali yang menolong ketika susah."
"Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-
sungguh mencari sahabat sejati hingga
pencarianku melenakanku.
"Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu
negara pun yang penduduknya berhati manusia."
Imam Al-Syafie turut meminta kita berhati-hati
memilih sahabat kerana sahabat yang baik akan
membawa ke arah kebaikan dan begitu sebaliknya.
Katanya: "Jika seseorang tidak dapat menjaga
nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa,
tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas
kasihan kepadanya.
"Banyak orang lain yang dapat menjadi
penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat.
"Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih,
meskipun memerlukan daya usaha yang keras.
"Tidak semua orang yang engkau cintai,
mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala
dibalas dengan sikap tidak sopan.
"Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya,
tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.
"Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana
dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai.
"Dia akan memungkiri jalinan cinta yang terbentuk
dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi
rahsia."
Seseorang itu juga dapat menundukkan musuhnya
dengan menunjukkan rasa persahabatan.
Imam Al-Syafie dalam hal ini berkata: "Ketika aku
menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki,
hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara
permusuhan.
"Ketika musuhku berada di hadapanku, aku
sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan
agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.
"Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa
persahabatanku kepada orang yang kubenci,
seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang
kucintai."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment